SIVARAJA a/l Nagamuthu dilahirkan sebagai penganut agama Hindu 46 tahun lalu di Pelabuhan Klang, Selangor. Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini mula mencari kebenaran agama seawal usia 15 tahun.
Nama Islamnya Mohd. Hafizan Abdullah. Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Dakwah di Bahagian Dakwah Bukan Islam dan Orang Asli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Putrajaya.
Semasa di tingkatan tiga terdetik dalam hatinya untuk mencari kebenaran agama. Pada masa itu, semacam ada sesuatu yang membuak-buak dalam dirinya. Lantas beliau mengikuti gerakan agama Kristian.
Dua tahun berada dalam kumpulan itu, matlamat pencarian masih tidak ditemui malah lebih banyak kemusykilan yang tidak terjawab. Lebih mengecewakan, agama Kristian tidak jauh berbeza dengan agama anutannya sebelum ini iaitu menggunakan objek sembahan, tidak ada fahaman tauhid yang kukuh serta terlalu taksub dengan Nabi Isa sehingga mengatasi Pencipta alam semesta.
Pun begitu, perkenalannya dengan seorang guru pelatih di Sekolah Menengah Datuk Hamzah, Klang, Ustaz Pardon semasa ceramahnya tentang perbandingan agama berjaya merungkai banyak persoalan yang selama ini membebani fikiran, terutama mengenai konsep ketuhanan.
"Pada masa yang sama satu keajaiban berlaku dalam hidup saya. Pada satu malam semasa nyenyak tidur, saya didatangi seseorang yang membisikkan bacaan al-Quran di telinga kanan.
"Bacaannya cukup jelas dan begitu mengasyikkan biarpun saya tidak memahami maksudnya. Terdetik juga jika apa yang saya dengar itu sekadar alunan bacaan al-Quran dari masjid berdekatan rumah,'' katanya.
Tambah menghairankan ialah bila jawapan daripada imam adalah sebaliknya. Lantas, beliau menganggap insiden pelik itu sebagai petunjuk atau hidayah Allah.
"Lantas tanpa merujuk kepada keluarga, saya ceritakan pengalaman yang dialami kepada guru agama di sekolah dan mengakui minat memeluk Islam dan bergelar muslim.
"Atas kerelaan sendiri, saya dibawa ke Jabatan Agama Islam Selangor dan diislamkan oleh Mokhtar Stork pada 27 Jun 1976. Selepas melalui proses pengislaman itu, barulah saya memberitahu ibu bapa tentang status agama yang baru.
"Alhamdulillah, mereka menerimanya dengan hati terbuka. Namun, penerimaan berbeza daripada bapa saudara sebelah ibu. Pengislaman saya dianggap menconteng arang di muka mereka kerana ia satu tamparan dan penghinaan kepada agama Hindu.
"Semenjak itu kami sekeluarga dipulaukan oleh masyarakat sebangsa. Ayah disisih oleh teman sekerja manakala saya mengalami keadaan serupa di sekolah,'' jelasnya.
Semua dugaan ini dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketenangan sehinggalah Mohd. Hafizan diterima menyambung pengajian di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) di Wisma Selangor, Petaling Jaya, Selangor selama empat tahun.
Berbekalkan sijil empat Thanawi dan ilmu yang diperoleh selama di IDIP, Mohd. Hafizan memberi pendedahan Islam kepada keluarga. Seperkara yang cukup dikagumi dan dihargai tentang keluarganya ialah sikap terbuka serta sokongan padu sama ada dari segi kewangan dan moral mereka yang menanggung pengajiannya.
"Biarpun saya bukannya seorang anak yang dikira jahat tetapi mereka sendiri mengakui banyak perubahan yang berlaku pada diri saya selepas saya memeluk agama Islam seperti menjadi seorang anak yang lebih bertanggungjawab, menjaga soal kebersihan dan perubahan akhlak," katanya.
Alhamdulillah pada 1986 ibunya mengikut jejak memeluk Islam dan menggunakan nama Aminah Rajamah Abdullah. Sungguhpun Mohd. Hafizan sedih ayahnya tidak sempat melafazkan syahadah tetapi semasa hayatnya beliau pernah menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam cuma ia tidak kesampaian.
"Saya sentiasa berdoa semoga luahan ikhlasnya diterima kerana Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
"Saya mengakui pengislaman ibu adalah atas kerelaannya sendiri kerana sikap yang ditunjukkan ibu terutama pada bulan Ramadan menjadi bukti kasih ibunya tiada tandingan," kata beliau.
Berbuka
Apa tidaknya, setiap kali tiba bulan puasa, ibulah yang paling sibuk dan mengambil berat. Hidangan sahur dan berbuka tidak pernah lupa disediakan malah ibu juga mengejutkan Mohd. Hafizan bangun sahur. Semua ini setia dilakukan sehingga ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1997.
Setahun sebelum ibu memeluk agama Islam, Mohd. Hafizan mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hati iaitu Ramlah Mohd Kunju, 44, yang berketurunan Malabari. Peranan isteri pada masa itu sedikit sebanyak memberi kesedaran dan membuka pintu hati ibu menerima Islam.
Menerusi perkahwinan pertama ini, Mohd. Hafizan dikurniakan enam cahaya mata yang kini berusia antara 11 hingga 20 tahun. Pada 1999, beliau mendirikan rumah tangga dengan wanita India Muslim, Sairah Banu, 34, dan dikurniakan tiga orang anak berusia antara dua tahun hingga tujuh tahun. Mohd. Hafizan mengahwini isteri ketiga, Farizah Saidan, 33, pada 2002 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia setahun sembilan bulan.
Menurut beliau, soal poligami sering kali dipandang serong oleh segelintir masyarakat tetapi hakikatnya, sesuatu yang Allah perbolehkan itu ada hikmah di sebaliknya.
"Umat Islam di Malaysia perlu berpandangan jauh dan bersikap positif dalam melihat perkara poligami ini. Ia bukan soal kepuasan seks semata-mata tetapi melahirkan zuriat yang soleh dan solehah serta banyak lagi kebaikannya," kata Mohd. Hafizan.
Kefahaman Islam yang cetek di kalangan masyarakat, katanya, menyebabkan berlaku banyak halangan dan kerenah yang sekali gus menimbulkan kerisauan kepada saudara baru serta orang bukan Islam.
"Saya pernah ditanyakan soalan berbunyi, apakah faedah yang diperoleh apabila memeluk agama Islam, sedangkan orang Islam sendiri tidak mendaulatkan Islam? Saya jelaskan kepada mereka bahawa Islam dan Melayu adalah dua perkara yang berbeza," tegas Mohd. Hafizan .
utusan.com.my